PROFIL ISMA

ISMA adalah sebuah gerakan Islam yang dinamik dan progresif, yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. ISMA ditubuhkan di atas asas kefahaman Islam yang sahih, metodologi kerja yang jelas, pembinaan dan penyusunan ahli yang rapi serta kerja-kerja berpasukan yang berterusan dan professional. ISMA terlibat secara aktif dalam menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada segenap lapisan masyarakat dengan menggunakan pelbagai cara dan pendekatan. Program-program ISMA merangkumi bidang-bidang pembangunan sumber manusia, kenegaraan, kebajikan sosial, pemantapan keluarga dan masyarakat, aktivisme wanita, pengupayaan belia, bimbingan remaja dan pemerkasaan ekonomi.

ISMA adalah sebuah organisasi Islam yang terkehadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di Malaysia sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan. ISMA mengambil tanggungjawab untuk memperkukuhkan kepimpinan umat Islam di Malaysia bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutan terjamin dan tidak mampu dicabar.

ISMA memiliki agenda perjuangan yang unik dan tersendiri. Selaras dengan tuntutan semasa, ISMA memberi tumpuan yang besar kepada bangsa Melayu dalam program dan aktivitinya. Bangsa Melayu adalah bangsa Islam yang menjadi majoriti di Malaysia. ISMA meletakkan kekuatan serta kesepakatan orang Melayu sebagai pra-syarat kepada pelaksanaan Islam di Malaysia. Oleh itu, ISMA sentiasa komited untuk menghidupkan bangsa Melayu dengan Islam agar mampu berperanan sebagai bangsa tonggak kepada projek Islam di Malaysia.

ISMA adalah organisasi berdaya maju dengan bilangan aktivis yang ramai dan komited di seluruh negara. Majoriti ahli ISMA merupakan golongan muda. Bilangan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ahli-ahli ISMA terdiri daripada pelbagai latar belakang, kerjaya dan kepakaran. ISMA mempunyai tokoh-tokoh dalam bidang-bidang strategik seperti pengajian Islam, kewangan Islam, keusahawanan, kejuruteraan, sains dan teknologi, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Sehingga kini, terdapat 30 cawangan ISMA berdaftar di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak. ISMA juga memiliki cawangan-cawangan di luar negara, iaitu di Mesir, Australia, United Kingdom, New Zealand, USA, Ireland, Jepun, Korea Selatan, India, Jordan dan Arab Saudi.