MAHASISWA DALAM MALAYSIA NEGARA ISLAM: APA PERANAN KITA?

Ia bukanlah suatu perkara yang baharu, akan tetapi  telah lama dibincangkan dalam kalangan masyarakat umum. #MalaysiaNegaraIslam, satu topik yang telah mekar perbincangannya dengan melibatkan ramai orang penting seperti ahli politik, pakar perundangan, warga akademia, tokoh masyarakat dan banyak lagi. Percayalah, ia bukanlah suatu diskusi yang melangit dan sekadar retorik, akan tetapi ia merupakan satu pemangkin untuk menetukan hala tuju serta neraca pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat.

Tidak dapat dinafikan, secara prima facie-nya, Malaysia sememangnya secara hakiki sebuah Negara Islam dengan merujuk kepada perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan [1].

Di samping itu, terdapat banyak definisi yang telah dinukilkan oleh para Ilmuan dan ulamak berkenaan definisi negara Islam. Antaranya, Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhayli di dalam kitabnya Athar al-Harbi fi Fiqhi al-Islami mendefinisikan bahawa setiap negara yang pernah bernaung di bawah kekuasaan Islam, di mana hukum hakam dan syiar Islam telah ditegakkan, akan kekal sebagai dar al-Islam (negara Islam) [2].

Melihat kepada definisi ini dan dipadankan pada situasi Malaysia, dengan rujukan kepada kes seperti Ramah lwn Laton [3] yang telah menegaskan bahawa “Muslim law is not foreign law, it is the law of the land’, serta catatan sejarah yang telah menunjukkan bahawa telah tertegaknya kerajaan Islam di Tanah Melayu seperti di Melaka, Kedah dan Terengganu, maka dapat disimpulkan dan diperkukuhkan bahawa Malaysia sememangnya Negara Islam.

Maka, dengan melihat kepada perbincangan di atas, akan lahir satu persoalan yang lebih besar, iaitu apa pentingnya peranan anak muda, belia dan mahasiswa kepada hakikat bahawa Malaysia ini Negara Islam. Jika telah tersemat Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan, “supreme law of the nation”, maka apa lagi kita perlukan? Apa lagi yang masih kita tidak berpuas-hati?

Masyarakat perlu sedar bahawa huruf-huruf perlembagaan itu merupakan huruf-huruf yang mati, dan tanpa ada usaha untuk menggerakkan dan merealisasikan hasrat perlembagaan itu maka prinsip-prinsip itu hanyalah ibarat dakwat-dakwat kering yang telah melekat pada sehelai kertas semata-mata, tidak lebih daripada itu. Oleh hal yang demikian, para belia harapan bangsa sekalian seharusnya mempersiapkan diri dengan sifat dan jati diri seorang Muslim yang mampan.

Antaranya, Islam seharusnya dijadikan akar mahasiswa. Setiap ajaran yang terkandung dalam Islam seharusnya dijadikan panduan utama dalam apa-apa gerak kerja yang dirancang samada untuk tujuan peribadi ataupun kerja dengan menerima Islam secara “total” dan bukannya “cherry-picking” mengikut hawa nafsu. Dalam mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, maka perlulah setiap perkara yang kita lakukan dipandu wahyu dan tidak lari daripada Maqasid Syariat. Perlu diingatkan juga, bahawa maqasid atau objektif kepada syariat itu lahir daripada perlaksanaan syariat itu sendiri bukannya hanya melihat kepada objektifnya semata-mata.

Selain daripada itu, para Mahasiswa Muslim perlulah mengisi setiap ruang kekosongan yang ada dalam masyarakat sivil dalam apa jua bidang. Pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak golongan yang mengangkat naratif liberalisma, pluralisma, dan banyak lagi ideologi yang bertentangan dengan fikrah Islamiyyah. Malah terdapat sesetengah ideologi yang cuba dikaitkan dan diasosiasi dengan Islam walaupun sebenarnya prinsip asas sebagai seorang Muslim itu telahpun cair. Wujud sesetengah peguam, badan-badan bukan kerajaan, “social media influencer”, aktivis serta ahli politik dan banyak pihak yang telah berpusu-pusu untuk mengibarkan dan mengangkat agenda yang tidak selari dengan Islam dan identiti kebangsaan. Maka menjadi satu tanggungjawab kepada Mahasiswa Muslim untuk mempersiapkan diri untuk terjun ke dalam masyarakat dan mengetengahkan sudut pandang Islam yang lebih tepat.

Mahasiswa juga perlu lebih berani mengajak kepada perkara yang ma’ruf serta menentang perkara yang mungkar dan batil. Pada hari ini, bukan lagi masa untuk para siswa merasa ‘segan’, ‘malu’ atau ‘geli-geli’ untuk memperjuangkan prinsip Islam dan menentang fikrah yang sesat. Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab asasi sebagai seorang Muslim. Budaya tanasuh atau ‘betulkan yang biasa dan biasakan yang betul’ sepatutnya berakar dalam masyarakat seperti mana yang ditekankan di dalam surah al-Ikhlas.

Sebagai penutup, kita dapat lihat bahawa Mahasiswa sememangnya berperanan dalam menggerakkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dengan membina jati diri berasaskan Islam dan berbakti kepada masyarakat. Amatlah penting bagi anak-anak muda pada hari ini, ‘pemimpin hari esok’, untuk mempersiapkan diri untuk membina negara bangsa Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip Islam supaya Malaysia dapat mencapai ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur”.

Ahmad Aizat Bin Dolbaharin
Pelajar tahun 3,  Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

RUJUKAN

[1] Perkara 3, Perlembagaan Persekutan
[2] Wahbah al-Zuhayli, Athar al-Harbi fi Fiqh al-Islami (Damsyik, Dar al-Fikr:1998), hlm. 169
[3] (1927) 6 FMSLR (CA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *