HIKAYAT PUTERA HASIF : FEMINISME ITU HAK WANITA

KARYA AHLI | KOMIK PEMBINA.

HIKAYAT PUTERA HASIF : FWMINISME ITU HAK WANITA?

Nukilan : Nurul Hanini Muda
Ilustrasi : Hanan Hussin

Kring… Kringg..

Loceng sekolah berbunyi menandakan tamat waktu persekolahan. Hasif segera mengemas buku-bukunya dan keluar dari kelas. Dia mahu segera pulang , ada satu kekusutan yang perlu dileraikan. Usai sahaja menunaikan solat Zuhur berjemaah di surau sekolah, Hasif terus mendapatkan basikalnya. Pedal basikal dikayuh laju.

Setibanya di rumah, dia terus mencapai telefon bimbitnya di bawah bantal.

” Assalamualaikum Kak Nuha ” Hasif memberi salam.

” Ya, Waalaikumusalam Hasif, ada apa? ”

” Akak, Sif nak tanya, tadi ada belajar fasal ideologi-ideologi yang salah. Lepas tu salah satunya feminisme. Bukan ke feminisme tu mengangkat hak wanita? Jadi apa salahnya perjuangan feminisme? ”

” Hasif, dalam hidup kita mesti berpegang kepada apa? ”

” Mestilah Al-Quran dan Sunnah ” Jawab Hasif yakin.

” Kalau kita ambil separuh-separuh boleh tak ? ”

” Eh mana boleh, kita kena ambil syariat Allah secara keseluruhan. Nanti dosa ” Nuha tergelak dihujung talian dengan jawapan adik lelakinya itu. Macam budak-budak intonasinya.

” Haa sebab itu lah ideologi feminisme ni salah. Memang dia memperjuangkan hak wanita di suatu sudut tetapi hakikatnya mereka juga memperjuangkan hak-hak wanita yang bertentangan dengan syariat Islam ”

” Contohnya akak? ”

” Mereka ini menuntut hak persamaan gender . Sehinggakan mereka mempersoalkan mengapa wanita tidak boleh menjadi Imam Masjid . Kenapa lelaki sahaja? Boleh google, ada gambar Amina Wadud jadi Imam di masjid. ”

” Selain itu akak? ”

” Selain tu, mereka memperjuangkan hak wanita dalam perwarisan harta, kenapa wanita dapat satu bahagian tetapi lelaki dapat dua bahagian. Sepatutnya perlu sama rata” Jelas Nuha panjang lebar.

” Oh , peliknya. Itukan memang hukum Allah. Sebab tanggungjawab lelaki lebih banyak dari wanita. Akhirnya duit tu untuk bantu nafkah wanita juga. Mereka ni tak baca kitab tafsir ke akak? ” Hasif bertanya polos.

“Haa itu lagi satu isu, mereka ni tak percaya kepada kitab tafsir. Mereka mendakwa Al-Quran perlu ditafsirkan semula. Sebab ulama kitab tafsir dahulu ni lelaki, jadi mereka akan cenderung kepada lelaki. ”

” Ish, tak patutnya, ulama tafsir ni bukan calang-calang, kita tahu peribadi mereka. ”

” Hmm itu lah.” Nuha turut mengeluh , sesak dada memikirkan kesongsangan cara fikir golongan feminis ni.

” Oh jadi feminisme ni salah lah ya? Sebab ideologi ni tak bertepatan dengan syariat Islam. Nanti orang silap faham dan mula nak menafsirkan ayat Al Quran untuk memuaskan kehendak sendiri. Betul tak akak? ”

” Haah, feminis ni banyak mengangkat isu-isu yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Bahaya bila menular ke dalam masyarakat. Kita kena ingat, tanggungjawab seorang khalifah itu adalah menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi. Jadi golongan sebegini perlu ditangani dengan berhikmah ”

” Oh.. Berhikmah? Berhikmah macam mana tu akak? ”

” Haa cuba cari apa itu hikmah? ” Nuha sengaja memberi ‘task’ kepada adiknya, biar cari sendiri, tidaklah semua benda perlu disuap.

” Okay akak , terakhir, terakhir, jadi , bagaimana dengan hak wanita kalau kita bendung feminisme ni? Siapa nak bela hak wanita? ”

” Hasif, sejarah Islam telah pun membuktikan betapa maruah wanita diangkat dan dibela. Kita ada saluran-saluran yang sepatutnya untuk membela golongan wanita yang teraniaya seperti Mahkamah Syariah. Jangan kerana sekelumit maslahat, kita merelakan sebesar-besar mafsadah , sedangkan kita ada cara yang jauh lebih baik. ”

” Okay faham akak, terima kasih ”

Hasif memutuskan talian. Dia segera bersiap-siap untuk ke kelas tambahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *