RESPON PEMBINA | ISLAM DAN FEMINISME MEMANG TIADA TITIK TEMU

Program “Sembang Kencang” 5.0 anjuran Persatuan Belia Harmoni Gombak yang membawa topik; Islam & Feminisme, telah dijalankan pada 28 Februari 2019 bertempat di Richiamo, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Difahamkan dialog neutral yang cuba dibawakan ini menampilkan panel yang berbeza latar belakang dan membawa persoalan sama ada wujudkahr titik temu antara Islam dan Feminisme. Berdasarkan pemerhatian kami, “Sembang Kencang” 5.0 ini dilihat gagal mencapai objektif utama mereka dalam mengetengahkan dua pemikiran yang berbeza yakni Islam dan feminism. Semasa menghadiri program tersebut, dapat dilihat beberapa kelemahan program yang jelas memberi keburukan kepada mahasiswa yang hadir serta yang menonton secara langsung di media Belia Harmoni Gombak.

Ingin kami nyatakan bahawa PEMBINA UIAM menyokong apa sahaja usaha mana-mana pihak untuk menganjurkan perbincangan akademik dan intelektual yang dapat menyemai suasana pertukaran idea yang baik dalam kalangan mahasiswa bagi meningkatkan tahap kematangan berfikir secara kritikal dan kritis. Namun, PEMBINA UIAM bertegas dengan pendirian kami bahawa sama sekali tidak bersetuju dengan kemasukan wakil Sister in Islam (SIS) sebagai panelis yang mewakili suara gerakan feminis yang jelas pengharaman dan kesesatannya oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor pada tahun 2014. Hal ini kerana, SIS secara terang-terangan membawa pemikiran liberal dalam memperjuangan hak wanita. Melalui pertemuan yang diaturkan oleh Beliawanis PEMBINA UIAM bersama pihak Siswi Belia Harmoni pada 27 Februari 2019, kami telah menyatakan penolakan terhadap tajuk dan panelis yang dibawa untuk program Sembang Kencang, namun mereka masih berkeras untuk meneruskan jemputan dengan hujah tersendiri. Pihak Harmoni mengatakan, kita perlu berlaku adil dan saksama serta bersikap neutral dalam menilai. Maka dengan itu mereka berpandangan dengan meletakkan aktivis SIS dari wakil feminism, audiens akan lebih faham dan jelas tentang ideologi ini serta tidak hanya sekadar mendengar momokan dari lisan masyarakat ataupun dari sumber bacaan sahaja.

Di sini, kami nyatakan beberapa kelompongan besar yang perlu ditekankan bagi membuka mata mahasiswa terhadap kelemahan program berikut. Pertama, penganjur gagal membawa panelis yang layak menjawab persoalan tajuk dialog tersebut. Ini jelas terlihat semasa panelis pertama, Tuan Nik Razali sendiri menyatakan bahawa beliau tidak maklum akan sebab atau kapasiti beliau dijemput bagi menjawab persoalan tersebut. Rata-rata mahasiswa yang hadir menantikan cabaran idea dan hujah berlaku antara dua pihak tersebut. Malangnya, tiada pertembungan hujah yang berlaku seperti yang diharapkan. Perbincangan dari dua panel lainnya juga seakan-akan menyokong perjuangan SIS dan bukanlah menegakkan kebenaran bahawa pemahaman yang dibawa SIS itu salah, Malah, ianya dilihat seperti menjadi medan yang menunjukkan persefahaman antara ketiga-tiga panelis tanpa membahas secara kritis bahawa benarkah wujud titik temu antara Islam dan feminis.

Selain itu, perbincangan tersebut gagal dipandu ke arah perbincangan intelektual yang dijanjikan oleh mereka semasa pertemuan yang diadakan. Permulaan dialog tersebut sepatutnya didahului dengan pembentangan definisi tajuk serta menjelaskan dengan telus suara dan pendapat sebenar setiap panelis akan isu yang dibawa. Ianya juga sangat menimbulkan persoalan apabila dialog ini dilihat cuba untuk mengaburi pandangan mahasiswa terhadap gerakan SIS apabila mereka menukar deskripsi di bahagian poster mengenai Puan Rozana Isa yang sebenarnya daripada wakil SIS kepada aktivis hak wanita kurang 24 jam sebelum program dijalankan. Penukaran ini memberi kesan buruk kepada mahasiswa yang hadir kerana mereka tidak dijelaskan terlebih dahulu tentang perjuangan SIS yang sebenar di lapangan masyarakat. Jika kita cakna akan isu semasa, telah banyak artikel dan berita yang dilaporkan mengenai perjuangan mereka yang berlawanan dengan syariat Islam. Sebagai contoh, penegasan untuk mengharamkan khitan terhadap anak perempuan, mengangkat perjuangan LGBT, menghalalkan zina dan hak untuk murtad serta pelbagai lagi yang telah menimbulkan kontroversi dan perhatian autoriti yang menjaga hal ehwal Islam di Malaysia. Seharusnya, pihak penganjur lebih berhati-hati merancang untuk menganjurkan dialog yang melibatkan individu yang mewakili gerakan sesat malah memberi ancaman akidah kepada umat Islam. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan sikap adil dan neutral yang cuba dipratikkan adalah tidak kena pada tempatnya malah ianya merupakan langkah yang bahaya terhadap pemikiran mahasiswa.

PEMBINA berpendapat bahawa, kebanyakan mahasiswa yang menghadiri program tersebut juga bersetuju dengan kelemahan-kelemahan yang wujud. Sebagai penuntut UIAM, seharusnya mahasiswa yang hadir bijak dalam menilai serta mampu mengeluarkan pandangan bahawa “Sembang Kencang” yang diadakan itu tidak pun mencapai tahap intelektualisme dan kesarjanaan yang mengikut kerangka syariat Islam. Lebih parah lagi, “Sembang Kencang” ini telah membuka ruang kepada SIS yang telah difatwakan sesat untuk menyampaikan ‘perjuangan’ mereka kepada mahasiswa mahasiswi UIAM.

Kesimpulannya, ideologi feminisma jelas sekali bertentangan dengan Islam. Jika perjuangan ekstrem tersebut diraikan dan cuba pula dicari titik temu bersama Islam, maka jelaslah kita hanya melakukan perkara yang sia-sia. Lebih menakutkan lagi, perbincangan yang tidak berlaku dalam kalangan ahlinya ini boleh mendatangkan keraguan dalam pemikiran mahasiswa terhadap hukum hakam Islam. Penting untuk diingatkan, kita wajib menitikberatkan soal akidah dan menjaganya dari dicemari oleh ideologi kebatilan yang boleh meresapi pemikiran umat Islam secara perlahan-lahan. Akhir kata, marilah bersama-sama menghayati firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 42, “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” my

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *